19 Oktober 2016 - 13:37
Van Polis Filipina Rempuh Para Penunjuk Perasaan Anti-A.S

Sebuah tunjuk perasaan di hadapan kedutaan A.S di ibu kota Filipina bertukar menjadi ganas apabila sebuah van polis dilaporkan merempuh para penunjuk perasaan sekaligus mencederakan 3 orang daripada mereka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebuah tunjuk perasaan di hadapan kedutaan A.S di ibu kota Filipina bertukar menjadi ganas apabila sebuah van polis dilaporkan merempuh para penunjuk perasaan sekaligus mencederakan 3 orang daripada mereka.

Ratusan penunjuk perasaan dilaporkan telah berkumpul di luar kedutaan yang terletak di Manila itu pada hari Selasa untuk menyatakan tuntutan mereka yang mahukan A.S menamatkan kehadiran tentera mereka di negara Filipina.

Semasa tunjuk perasaan tersebut berlangsung, sebuah van polis yang dipandu oleh pegawai polis berulang kali merempuh para penunjuk perasaan. Van itu dipandu ke hadapan dan ke belakang ketika, kenderaan polis itu dikerumuni dan dikepung oleh para penunjuk perasaan.

Polis juga dilaporkan telah menggunakan gas pemedih mata ke atas para penunjuk perasaan.

Pemimpin kepada tunjuk perasaan itu, Renato Reyes berkata bahawa 3 orang aktivis yang merupakan pelajar telah dibawa ke sebuah hospital berikutan kecederaan yang mereka alami.

Beberapa laporan juga menyatakan bahawa para penunjuk perasaan telah berusaha untuk merampas bangunan kedutaan tersebut. Semasa tunjuk perasaan itu berlangsung para penunjuk perasaan membawa dan memegang sepanduk yang bertulis, "Tidak kepada pangkalan dan tentera A.S."

Beberapa tangkapan dibuat setelah sebahagian daripada penunjuk perasaan melepasi barisan polis rusuhan sebelum menyimbah cat merah ke atas dinding kedutaan.

Di dalam sebuah protes yang hampir sama pada 6 bulan yang lepas, 6 orang penunjuk perasaan ditahan selepas membakar bendera A.S.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada bulan lepas telah memanggil A.S untuk mengundurkan tentera khasnya dari pulau Mindanao.